Teknik 3GO adalah teknik mnemonik yang dicipta bagi mengukuhkan ingatan pelajar
dan meningkatkan pencapaian pelajar dalam menyelesaikan soalan pembezaan bagi
fungsi trigonometri. Masalah ini telah dikenalpasti oleh pensyarah
apabila pelajar-pelajar ini menghadapi kesukaran untuk menyelesaikan soalan
pembezaan bagi fungsi trigonometri selepas gagal menjawab pop kuiz semasa sesi tutoran.
Punca kegagalan pelajar
menyelesaikan soalan pembezaan bagi fungsi trigonometri adalah faktor lupaan dan
kecuaian dalam melaksanakan langkah-langkah pembezaan. Pengujian keberkesanan teknik
3GO telah dijalankan terhadap pelajar jurusan sains dari program Sistem Empat
Semester di Kolej Matrikulasi Selangor. Seramai 25 orang pelajar dari kelas
D1M1T5 yang terdiri daripada 11 lelaki dan 14 perempuan telah dipilih untuk
menjadi responden kajian ini. Instrumen kajian merupakan set soalan ujian
pra-pos serta borang soal selidik yang mengandungi maklumat demografi dan
maklumbalas keberkesanan teknik 3GO. Hasil ujian pra dan ujian pos dianalisis
dengan membuat perbandingan markah menggunakan graf manakala skor min dan
peratusan digunakan untuk menganalisis dapatan soal selidik. Keberkesanan teknik 3GO dapat dilihat telah membantu pelajar-pelajar menguasai
langkah-langkah penyelesaian kepada soalan pembezaan bagi fungsi
trigonometri melalui hasil ujian pra dan ujian pos. Graf menunjukkan terdapat perbezaan
markah yang signifikan sebelum dan selepas pelajar didedahkan dengan teknik 3GO.
Hasil soal selidik pula mendapati tahap ingatan dan minat pelajar berada pada
tahap yang tinggi menerusi penggunaan teknik 3GO. Kesimpulannya, penggunaan teknik mnemonik iaitu
teknik 3GO terbukti dapat mengukuhkan ingatan pelajar dan sekaligus dapat
meningkatkan pencapaian pelajar.
Kata Kunci:Fungsi
trigonometri, pembezaan, teknik 3GO
No comments:
Post a Comment